Sunday, April 10, 2011

bahasa Arab kefahaman Quran

Pelajari bahasa Arab tingkat pemahaman al-Quran Oleh Muhammad Sabri Sahrir
2011/04/09 Tingkat penghayatan maksud bacaan ibadat solat, lahir generasi Muslim celik agama KEPENTINGAN bahasa Arab dalam komunikasi dan kehidupan seharian semakin bertambah dari sehari ke sehari. Kepentingan dan keperluan mempelajari satu daripada bahasa yang mempunyai antara penutur ramai di dunia ini tidak lagi terbatas kepada pembelajaran di sekolah dan institusi pengajian agama semata-mata. Bahasa ini juga bukan setakat medium untuk memahami sumber asas ilmu berkaitan Islam seperti fikah, tauhid, sejarah Islam dan sebagainya, malah menjadi satu bahasa kontemporari yang diperlukan dalam urusan seharian seperti komunikasi, teknologi, media massa, perdagangan dan perniagaan, pelancongan dan sebagainya. Menurut Dr Ramadan Abdul al-Tawwab (1994) dalam kitabnya Fiqh al-‘Arabiyyah, bahasa Arab adalah satu rumpun daripada susur galur bahasa Semitik yang dinisbahkan kepada seorang daripada anak Nabi Nuh AS dan orang pertama memperkenalkan istilah semitik ini ialah seorang orientalis bernama Schlozer. Bahasa ini berkembang dan turut dipelajari pelbagai bangsa di serata dunia. Bahasa ini bukan saja menjadi bahasa ibunda bagi hampir 280 juta penduduk Arab di serata dunia (rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Arabic_language), bahkan bahasa ini menjadi bahasa penting bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia kerana kitab suci al-Quran al-Karim diturunkan dalam bahasa Arab.

Bahasa Arab mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap bangsa dan bahasa Melayu dengan perkataan dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab dianggarkan jumlahnya di antara 2000 hingga 3000 patah perkataan. Huruf abjad Arab pula digunakan dalam penulisan Jawi walaupun didapati generasi kini khususnya generasi muda semakin kurang mahir dalam membaca dan menulis tulisan Jawi. Dengan mempelajari dan memahami bahasa ini, kita dapat memahami dan mendalami pengertian dan pengajaran daripada al-Quran, hadis Rasulullah SAW dan mengkaji kitab muktabar ulama silam yang kebanyakannya ditulis dalam bahasa Arab bagi golongan yang mahir. Bagi golongan yang mempunyai kemahiran sederhana dalam bahasa Arab, pengetahuan dalam bahasa ini dapat membantu mereka memahami maksud setiap bacaan dalam sembahyang, doa, wirid, zikir dan sebagainya. Cuba kita tanya pada diri kita selama ini apakah kita faham maksud surah al-Fatihah yang wajib dibaca dalam ibadat solat seharian? Bagaimana pula dengan bacaan dalam solat lain seperti doa iftitah, doa qunut, bacaan dalam rukuk, sujud dan sebagainya? Apakah kita akan berterusan menunaikan solat tanpa memahami maksudnya? Apakah kita memahami doa selepas solat yang dibaca oleh imam selama ini? Apakah cukup sekadar memahami bahasa Arab hanya membaca terjemahannya semata-mata? Tidak sama sekali kerana dengan mempelajari bahasa ini, kita akan dapat memahami makna dan maksud sesuatu perkataan, frasa dan ayat dengan lebih mendalam bukan setakat terjemahannya saja. Kita akan dapat memahami sesuatu perkataan itu dari segi tatabahasa (nahu), binaan perkataan (sorof), makna (semantik) dan sebagainya yang menjadikan kita lebih menghayati maksud sesuatu bacaan dalam ibadat solat dan lain-lainnya.

Dari sini, kita akan dapat memahami hikmah pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran dan terpeliharanya kitab suci ini daripada sebarang penyelewengan hingga ke akhir zaman. Justeru, mempelajari asas bahasa Arab serta kaitannya dalam ibadat solat dan doa penting seharian akan dapat menambahkan lagi rasa khusyuk dan ‘fokus’ ketika membacanya kerana dapat membantu menghayati maksud bacaan berkenaan. Secara tidak langsung dapat membantu kita ‘berkomunikasi’ dengan Allah SWT dengan lebih lancar dan jelas. Usaha kerajaan memperkenalkan program J-Qaf di sekolah mengintegrasikan pengajaran dan pembelajaran Jawi, al-Quran dan Fardu Ain suatu usaha murni dan harus diberi pujian. Program ini juga membuka peluang pekerjaan kepada graduan bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab menjadi warga pendidik dan guru yang dapat menyumbang ke arah pembinaan generasi Muslim yang celik al-Quran, Jawi dan Fardu Ain melalui bahasa Arab. Pemikir Islam terkenal, Hassan al-Banna pernah berpesan di dalam wasiat 10 yang berbunyi: “Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu satu-satunya syiar Islam.” Oleh itu, marilah sama-sama kita mempelajari bahasa Arab supaya sekurang-kurangnya kita dapat memahami bacaan dan doa dalam ibadat seharian. Peluang mempelajari bahasa ini termasuk masyarakat awam dan golongan profesional yang bekerja di pelbagai institusi pengajian tinggi seperti di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM), serta beberapa institusi pengajian tinggi yang lainnya yang sering terpapar dalam iklan di akhbar. Peluang mempelajari bahasa ini boleh didapati di masjid dan surau, selain tuisyen persendirian yang dijalankan dari ke rumah ke rumah. Peluang mempelajari bahasa suci bagi umat Islam ini amat banyak sekali di samping buku dan rujukan mempelajari bahasa Arab yang banyak terdapat di pasaran. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata dalam Ringkasan Iqtidha As-Sirat al-Mustaqim: “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kitab-Nya dengan bahasa Arab dan menjadikan Nabi-Nya penyampai Al-Quran dan As-Sunnah dari-Nya dengan bahasa Arab, menjadikan orang yang pertama kali masuk Islam berbicara dengan bahasa itu. Maka tidaklah agama difahami dengan baik dan benar kecuali dengan mempelajari bahasa Arab.
Penulis adalah pensyarah di Jabatan Kesusasteraan dan Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails